Pencemaran Laut
Malaysia dikelilingi oleh laut di mana terdapat
pelbagai aktiviti seperti carigali minyak dan pengangkutan air . Justeru
itu Malaysia juga adalah terdedah kepada risiko tumpahan minyak yang
besar . Perangkaan menunjukkan bahawa lebih dari 165 pelantar minyak
telah menjalankan usaha carigali dan aktiviti pengeluaran di perairan
Laut Cina Selatan dan Selat Melaka pula adalah laluan perkapalan yang
antaranya paling tersibuk di dunia . Dalam tahun 1995 terdapat lebih
kurang 30251 buah kapal yang telah melalui Selat Melaka yang mana hampir
30% adalah merupakan kapal-kapal tangki. (Sumber : Perangkaan Jabatan
Laut Semenanjung Malaysia )
Kini, laut semakin terancam oleh
aktiviti manusia yang ghairah mengejar materialistik tanpa menghiraukan
implikasi kepada alam sekitar . Pencemaran di Asia Tenggara adalah
berpunca daripada pelbagai faktor . Kepelbagaian faktor ini menyebabkan
kualiti dan kuantiti air laut tercemar dengan begitu teruk tanpa ada
satu vaksin yang mujarap untuk memulihkannya . Lebih 90% daripada punca
pencemaran laut adalah disebabkan oleh aktiviti manusia dan baki 10%
adalah berpunca dari sektor perkapalan . (Persatuan Pencinta Alam,
Tumpahan Minyak Yang Meracuni Perairan Malaysia, Dewan Kosmik (Mac),
DBP, Kuala Lumpur, 1995, m.s.:53-55)
Langkah dan kerjasama yang diambil oleh negara-negara berpantai di rantau Asia Tenggara .
Terdapat
tiga buah negara yang saling berkongsi perairan iaitu Malaysia,
Indonesia dan Thailand . Ketiga-tiga negara ini saling terlibat dalam
kerjasama yang bertujuan untuk mencapai kepentingan bersama . Malaysia
dan Indonesia telah bekerjasama dalam usaha untuk mempertahankan
kedaulatan Selat Melaka di bawah kedaulatan kedua-dua negara . Walaupun
isu Selat Melaka bersifat rumit namun ia tidak pernah menghalang
negara-negara berpantai untuk prihatin terhadapnya .
Kejadian
yang berlaku pada 6 Januari 1967, telah memaksa negara-negara yang
berpantai untuk mengambil satu tindakan yang positif terhadap kejadian
tersebut . Di dalam tahun tersebut kapal tangki minyak Jepun yang
dikenali sebagai Torry Canyon yang telah didaftarkan di Liberia telah
terlibat dalam perlanggaran . Akibatnya berlaku pertumpahan minyak yang
mana memerlukan kos yang tinggi untuk membersihkannya . Jumlah kos yang
diperlukan pada ketika itu ialah 16 juta dollar .
Buat masa ini
Malaysia dan Indonesia melalui ASEAN mereka telah menyalurkan pandangan
mereka mengenai isu-isu Selat Melaka . Satu rancangan yang dikenali
sebagai Rancangan Kontigensi Kebangsaan Mengawal Tumpahan Minyak telah
diadakan di Jabatan Alam Sekitar . Objektif bagi kerjasama serantau ini
membolehkan satu tindakan serta-merta dijalankan bagi mengawal tumpahan
minyak ynag tertumpah di perairan Malaysia .
Selain dari
Malaysia, negara-negara berpantai yang lain seperti Singapura turut
mewujudkan beberapa badan tertentu untuk mengatasi masalah ini . Kesemua
badan-badan yang ditubuhkan ini terletak di bawah satu pentadbiran
pelabuhan Singapura atau dikenali sebagai Port of Singapore (PSA) .
Syarikat-syarikat minyak juga prihatin dengan isu ini . Mereka telah
bergabung untuk membentuk Tierred Area Response Capability (TARC) .
Pertubuhan ini dibentuk pada tahun 1986 dan dianggotai oleh Syarikat
Minyak ESSO, Caltex dan Mobile . Organisasi ini mempunyai pelbagai
kelengkapan yang canggih dan terkini yang dapat digunakan dalam
kerja-kerja pengawalan dan pembersihan kawasan tumpahan minyak .
Pada
tahun 1992, singapura telah mencadangkan penubuhan satu badan khas
untuk mengatasimasalah tumpahan minyak . East Asia Response Limited
(EARL) akhirnya telah terbentuk dan ia dianggotai oleh lima syarikat
minyak terkemuka . Syarikat-syarikat itu ialah ESSO, Petronas, Caltex,
Mobile dan Shell . Pertubuhan ini berbeza dari pertubuhan yang lain
kerana peranannya yang luas dan tidak terhad di kawasan perairan
Malaysia dan Singapura sahaja tetapi meliputi rantau Asia Pasifik
termasuk Jepun dan Australia .
Apabila berlakunya kejadian
tumpahan minyak, langkah pertama yang harus dilakukan ialah mengawal
tumpahan minyak daripada merebak ke kawasan lain . Tumpahan minyak akan
cepat merebak melalui tiupan angin dan pengaliran arus air yang deras .
Terdapat empat cara yang digunakan untuk mengawal tumpahan minyak iaitu :
Cara mengepung dan mengumpul tumpahan
Menggunakan dispersent dan bahan kimia
Pembersihan pantai
Dibiarkan sahaja
Selain
daripada itu, terdapat pelbagai faktor yang perlu diambil dalam
mengawal tumpahan minyak daripada merebak . Antaranya ialah :
Lokasi tumpahan
Kuantiti tumpahan
Jenis tumpahan
Keadaan laut
Keupayaan tindakbalas bahan yang tertumpah
Apabila
berlaku kejadian tumpahan minyak, pihak yang bertanggungjawab akan
menjalankan operasi pembersihan minyak secara berperingkat-peringkat
iaitu peringkat tempatan, peringkat kawasan dan peringkat wilayah .
Operasi
peringkat wilayah berjalan apabila tumpahan minyak yang berlaku adalah
yang terbesar, melibatkan kawasan yang luas dan jumlah tumpahan yang
banyak. Ia dilakukan apabila jumlah peralatan, tenaga dan sumber dari
negara ini tidak mencukupi dan melibatkan bantuan daripada negara lain .
Di antara alternatif daripada kerjasama peringkat wilayah ini ialah :
Rancangan Kontigen Lombok - Makasar
Standard Operating Prosedure for Straits of Malacca and the Straits of Singapore
Standard Operating Prosedure for Malaysia and Brunei Darussalam
ASEAN - Oil Spill Response Action Plan (ASEAN - OSRAP)
Seterusnya terdapat juga objektif bagi mewujudkan kawalan tumpahan minyak. Antara objektifnya ialah :
Untuk mengadakan satu sistem tindak balas serta-merta yang diselaraskan bagi menghadapi tumpahan minyak.
Untuk
meningkatkan kemampuan dan sumber-sumber yang ada dari segi peralatan
serta latihan kakitangan bagi menghadapi kejadian tumpahan minyak.
Untuk mengelakkan kesan buruk ke atas persekitaran dengan cara mengawal aliran minyak.
Terdapat
juga langkah-langkah lain yang dilakukan untuk mengurangkan dan
mengelak berlakunya kemalangan kapal di Selat Melaka dan Selat
Singapura. Negara-negara berpantai merasakan amat perlu bagi mereka
untuk mengawal keselamatan lalu lintas di kedua-dua selat tersebut. Oleh
itu, mereka telah menyarankan agar Trafic Separation Scheme (TSS) atau
Skim Lalu Lintas diwujudkan memandangkan di Eropah telah lama
menggunakan kaedah ini iaitu sejak pertengahan abad ke-19. Perlaksanaan
TSS adalah didorong oleh kejayaan skim yang serupa di Eropah. Cadangan
untuk mengadakan skim ini di Eropah bermula pada tahun 1857 iaitu di
England. Cadangan ini dibuat ekoran dari tragedi perlanggaran kapal
milik Amerika dan Perancis yang mengorbankan seramai 3000 orang.
Beberapa saranan juga telah dibuat bagi menjaga supaya pencemaran tidak berlaku secara berleluasa. Antaranya ialah :
Masalah pencemaran Selat Melaka harus dikaji dengan lebih mendalam dan tindakan yang bersesuaian harus segera diambil.
Akta
Zon Ekonomi Eksklusif 1984 haruslah digunakan setakat yang diperlukan
dan mengenakan denda yang lebih tinggi kepada mereka yang mencemar laut
dan pantai.
Majlis peringkat tertinggi dianggotai oleh kalangan
negara-negara berpantai yang berkongsi perairan Selat Melaka harus
ditubuhkan untuk meneliti perkara ini dan mencari jalan penyelesaiannya.
semua pengguna Selat Melaka diwajibkan membayar levi atau tol.
Dengan
wujudnya pelbagai saranan, akta, skim dan pertubuhan diharapkan masalah
pencemaran akan dapat dikurangkan bagi memelihara perairan negara kita.
Di Malaysia berbagai pihak terbabit dalam penguasaan pencemaran seperti
Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Jabatan
Marin, Jabatan Laut, TLDM dan PDRM yang diperwakilkan kuasa menyiasat di
bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Walaupun begitu, Jabatan Alam
Sekitar adalah bertanggungjawab sepenuhnya dalam menguatkan akta
tersebut dengan dibantu oleh agensi-agensi maritim yang lain.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar